Kuala Lumpur, 1 April – TLDM hari ini menyatakan bahawa rakyat Malaysia tidak perlu bimbang akan laporan mengenai kehadiran kapal induk Tentera Laut China (PLAN) di Laut China Selatan.
Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, kapal pengangkut pesawat Liaoning tidak berada berdekatan perairan Malaysia.
Semalam, kapal induk China, Liaoning dilaporkan sedang menjalani latihan tentera laut besar-besaran bersama 40 buah kapal lain di kawasan tuntutan bertindih Laut China Selatan.
“Tidak ada sebab untuk bimbang selagi tidak menceroboh perairan negara. Terdapat juga kapal pengangkut pesawat dari negara lain beroperasi di rantau ini atas dasar ‘kebebasan navigasi’ (freedom of navigation) di perairan antarabangsa,” kata Panglima Tentera Laut.
Beliau berkata semua kapal berhak berlayar di perairan antarabangsa selaras dengan peruntukan Konvensyen Undang-undang Laut PBB.
Tambah beliau, TLDM sedang memantau keadaan ini.
“Sekiranya berlaku pencerobohan kapal asing ke dalam perairan kita, ada saluran untuk membangkitkan kebimbangan kita.”