Home PolitikBarisan Nasional Marang bukan lagi kubu kuat PAS : Nik Dir

Marang bukan lagi kubu kuat PAS : Nik Dir

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 1 Apr – Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Wan Ku menyatakan keyakinan akan merampas kerusi parlimen berkenaan daripada penyandangnya yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menyifatkan kawasan itu bukan lagi kubu kuat PAS dan percaya pengaruh parti Islam itu akan berakhir pada pilihan raya umum kali ini.

“Persaingan pastinya sengit namun saya yakin BN akan menang kali ini. Keyakinan ini berdasarkan tahap perpaduan dalam parti bersama semangat, komitmen ditunjukkan semua jentera parti.

“Ini termasuklah sayap wanita dan puteri serta veteran Umno yang konsisten berada pada tahap tinggi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Selain parlimen, Umno juga yakin dapat menawan kerusi DUN Rhu Rendang yang turut disandang Hadi.

“Berdasarkan reaksi rakyat, saya percaya Rhu Rendang akan menjadi milik BN dengan bantuan hampir 10,000 ahli Umno, pengundi atas pagar dan pengundi PAS yang tidak berpuas hati dengan parti mereka,” katanya.

Dun Rhu Rendang dan Parlimen Marang sebelum ini dianggap kubu paling kuat PAS di Terengganu apabila kerusi tersebut dikuasai oleh presidennya.

Pada pilihan raya umum lalu, Abdul Hadi mempertahankan Marang dengan majoriti 5,124 undi dan Rhu Rendang dengan majoriti 2,819 undi.

Beliau bagaimanapun pernah tewas kepada calon Umno, Abdul Rahman Bakar di parlimen berkenaan dengan majoriti tipis 163 undi pada PRU 2004.

Mengulas lanjut, Nik Dir yang juga pegawai penyelaras Dun Rhu Rendang berkata, Umno tidak pernah mengabaikan pengundi di kawasan itu meskipun tewas pada PRU lalu.

Katanya selepas berakhir PRU13, jentera parti terus digerakkan untuk turun padang dan mendekati anggota masyarakat termasuk golongan muda.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 33 keluarga di Rusila menerima bantuan membabitkan baik pulih rumah dan atap dengan perbelanjaan hampir RM2 juta di samping 100 penduduk uzur turut dibantu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!