KANGAR, 31 Mac – Raja Muda Perlis Brig. Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya seluruh warga askar Wataniah sentiasa bersiap siaga untuk menjadi responden gelombang pertama dalam menghadapi sebarang ancaman di kawasan masing-masing.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah anggota harus memaklumkan segera kepada unit tentera tetap atau pihak berkuasa tempatan (PBT) jika berlaku ancaman seperti konflik, krisis, ancaman, penaklukan atau pencerobohan.
“Perolehi sebanyak yang mungkin maklumat ataupun perisikan tentang ancaman daripada pihak musuh yang dihadapi iaitu berkaitan kekuatan, persenjataan, kedudukan, pengenalan atau identiti, motif serta hasrat mereka, atur gerak dan sebagainya.”
“Tetapi anggota juga haruslah menitikberatkan aspek keselamatan diri dan keluarga sendiri,” titah baginda semasa melancarkan Latihan Sukarelawan Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia 2018 di Kem Bukit Ketri dekat sini, hari ini.
Baginda bertitah masyarakat juga perlu menyokong padu anggota keselamatan untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan negara.
“Seseorang askar Wataniah juga boleh berperanan untuk membangkitkan semula semangat kenegaraan atau nasionalisme kepada anggota keluarga dan masyarakat sekeliling,” titah baginda.