Semenjak akhir-akhir ini, kita dapat melihat bagaimana Rusia dan negara-negara Barat sedang mengalami krisis diplomatik. Kedua-dua pihak sedang menghalau pegawai diplomat negara-negara yang berlawanan dari negara-negara masing-masing.
Selain menghalau pegawai diplomat, beberapa buah kedutaan telah ditutup. Sebagai contoh, konsulat Rusia di Seattle dan terbaru, Konsulat Amerika Syarikat di St Petersburg, Rusia.
Krisis diplomasi ini dilihat sebagai salah satu krisis terbesar semenjak berakhirnya Perang Dingin pada tahun 1990-an, selepas runtuhnya Tirai Besi negara Kesatuan Soviet.
Perkataan “Russophobia” mula tular di media Barat terutamanya apabila Rusia mula bertindak balas dalam isu serangan gas saraf terhadap seorang bekas ejen perisik Rusia dan anaknya di sebuah kompleks membeli-belah di Salisbury. Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia Skripal, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kedua-duanya telah dibawa ke hospital.
Tatkala pasangan anak-beranak tersebut sedang kritikal, meja diplomasi dan meja pentadbiran Britain mula panas apabila gas yang digunakan dalam cubaan membunuh tersebut dikenali sebagai gas Novichok.
Gas Novichok
Gas Novichok merupakan gas saraf yang dibangunkan pada sekitar 1971 sehingga 1993 oleh saintis Rusia. Gas ini merupakan antara gas saraf yang paling berbahaya dan terdapat varian gas ini mempunyai potensi membunuh sebanyak lima hingga ke lapan kali ganda berbanding gas VX.
Novichok dibangunkan dibawah program yang dikenali sebagai FOLIANT pada era Kesatuan Soviet. Dalam buku War of Nerves oleh Jonathon B. Tucker, beliau mendakwa terdapat 5 varian gas ini telah digunakan untuk tujuan ketenteraan. Walaupun begitu, belum terdapat sebarang bukti bahawa gas ini digunakan di medan perang.
Ciri-ciri kimia gas ini tidak terdapat dalam mana-mana sumber terbuka sehinggalah pada tahun 2016, beberapa orang ahli kimia Iran telah berjaya menganalisa 5 ejen Novichok. Maklumat dari penemuan tersebut kemudiannya disimpan dalam pangkalan data Organisasi Pencegahan Senjata Kimia (Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons – OPCW).
Insiden 4 Mac
Pada petang 4 Mac, Salisbury, perkhidmatan kecemasan telah membawa Sergei Skripal, 66 tahun, dan anaknya, Yulia Skripal, 33 tahun ke Hospital Daerah Salisbury. 3 orang anggota polis Britain telah dimasukkan ke hospital. Salah seorang daripadanya, Sarjan Detektif Nick Bailey dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas memasuki rumah Sergei Skripal.
Sementara Yulia Skripal kini dilaporkan stabil, para doktor yang merawat Sergei pula menyatakan peluang untuk beliau pulih adalah tipis.
Bagi Britain, serangan sebegini mencabar kedaulatan negara itu. Ini terutamanya beberapa kes melibatkan serangan terhadap beberapa orang termasuk bekas perisik Rusia yang berlindung di negara itu pernah berlaku semenjak Perang Dingin.
Insiden Georgi Markov, 1978.
eorgi Markov diracun dengan menggunakan payung khas.Pembunuhan Georgi Markov pada September 1978 merupakan antara titik genting dalam Perang Dingin. Georgi, berbangsa Bulgaria telah diracun dengan menggunakan payung khas di Jambatan Waterloo.
Ketika menunggu bas, Georgi Markov telah dicucuk dengan menggunakan payung pada kakinya. Aktivis yang lantang menentang kerajaan komunis Bulgaria itu maut tiga hari kemudian.
Bedah siasat terhadap mayatnya mendapati terdapat satu palet sebesar 1.7mm yang mengandungi ricin ditemui di bawah kulitnya.
Britain pada ketika itu mengesyaki pembunuhan tersebut didalangi oleh perkhidmatan rahsia Bulgaria dan juga Kesatuan Soviet.
Alexander Litvinenko, November 2006
Pembunuhan Alexander merupakan antara episod pembunuhan awal terhadap bekas perisik Rusia di Britain. Alexander jatuh sakit selepas meminum teh dari cawan yang diracuni dengan bahan radioaktif polonium.
Pembunuhan ini tidak begitu tersembunyi seperti yang berlaku kepada Georgi kerana Alexander bertemu dengan saspek pembunuhnya di bar Hotel Millennium, Mayfair, London.
Andrei Lugovoi, bekas pegawai KGB dan Dmitry Kovtun, rakan baik Lugovoi merupakan dua saspek utama pembunuhan Alexander Litvinenko, yang merupakan bekas pegawai perisikan agensi FSB.
Presiden Vladimir Putin pada ketika itu menolak penglibatan Rusia dalam pembunuhan tersebut dan enggan mengekstradisi kedua-dua saspek.
German Gorbuntsov, March 2012
German Gorbuntsov merupakan pegawai bank yang dibuang negara. Beliau hampor maut apabila ditembak sebanyak 4 kali oleh penyerang dengan pistol yang dipasang dengan penyengap.
Alexander Perepilichnyy, November 2012
Alexander ditemui maut berhampiran rumahnya di Weybridge, Surrey. Walaupun pada mulanya diisytiharkan sebagai mati mengejut, inkues yang dilakukan menemui kesan bahan kimia di dalam perutnya.
Sebelum maut, Alexander telah membantu satu firma perlaburan khusus dan membongkar aktiviti gubahan wang haram sebanyak USD$ 230 juta oleh Rusia.
Inkues tersebut memutuskan beliau telah dibunuh kerana membongkar aktiviti gubahan wang haram yang melibatkan beberapa orang kenamaan Rusia. Beliau dipercayai dibunuh dengan makanan yang telah diracun.
Boris Berezovsky, Mac 2013
Boris merupakan antara personaliti yang membawa naik nama Vladimir Putin sebelum beliau menjadi Presiden Rusia.Boris telah mengantung diri tetapi majoriti menolak kematian beliau diklafikasikan membunuh diri. Jutawan yang hidup dalam buangan itu terkenal dengan suaranya yang lantang mengkritik Vladimir Putin.
Keraguan terhadap kematian jutawan itu timbul apabila bedah siasat menunjukkan bahawa beliau berkemungkinan besar telah di bunuh.