Pasir Gudang, 30 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu negeri itu kekal sebagai Johor Darul Takzim (JDT), bukannya Johor Darul Transit yang merujuk kepada calon yang sering bertukar kawasan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Perbandaran Pasir Gudang,Johor yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Menurut beliau yang lebih penting, Johor bukan negeri transit untuk pemimpin-pemimpin DAP.
“Kita mahukan pemimpin yang prihatin, yang serius dengan pembangunan dan agenda masa hadapan Johor serta bukannya pemimpin biskut. Sekejap ada sekejap tak ada”, ujarnya.
Beliau berkata, mereka terlupa bahawa Johor adalah negeri yang serius dengan agenda masa hadapan dan Johor bukanlah negeri buangan untuk mereka yang kecewa dalam politik yang mempunyai agenda peribadi.
“Johor simbolnya, warnanya, sinonimnya adalah biru, selain dikelilingi laut biru yang juga membawa makna perpaduan, biarlah negeri ini kekal sebagai negeri biru. Dan bukannya negeri haru biru”, katanya.
“Selepas pulang dari perhimpunan mega ini. Keluarlah dan beritahulah masyarakat. Bahawa, pilihan mereka sebenarnya mudah. Antara Biru dan Haru Biru. Itu sahaja.
“Keyakinan ini bukanlah sebuah khayalan atau mimpi di siang hari! Majoriti rakyat bangsa Johor ini DNAnya adalah DNA UMNO dan BN!” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Barisan Nasional Malaysia merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Hisahammuddin Tun Hussein, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Johor, Dato’ Dr Abd Latiff, Pengerusi MCA Johor merangkap Timbalan Pengerusi MCA Kebangsaaan, Dato’ Seri Ir. Dr Wee Ka Siong dan pengerusi-pengerusi Barisan Nasional Bahagian Negeri Johor.