Kuala Lumpur, 26 Mac – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee telah menggantung 3 ahli parlimen DAP untuk tempoh 10 hari selepas mereka gagal memohon maaf kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.
Ia adalah susulan ketiga-tiga Ahli Parlimen pada 7 Mac lalu. Dalam kenyataan bersama Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) mendakwa Pandikar sebagai bersekutu menutup skandal rasuah kerana menolak usul berkaitan penyitaan kapal mewah Equinimity, serta soalan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu meletak jawatan.
Pandikar kemudian menulis surat para 13 Mac lalu meminta ketiga-tiga Ahli Parlimen itu memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kerana mengeluarkan kenyataan penghinaan itu namun mereka enggan berbuat demikian.
Pandikar dilaporkan tersinggung dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa speaker tidak sepatutnya menjadi “sekutu untuk menutup skandal rasuah” dan “sebagai speaker, Pandikar gagal menegakkan kebenaran, justeru, perkara paling mulia untuk dilakukannya adalah meletakkan jawatan.”
Ini susulan keputusan Pandikar yang menolak usul segera mereka berhubung isu rampasan kapal persiaran milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.
Ronald Kiandee menyatakan, tindakan tersebut adalah satu tindakan disifatkan sebagai menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai pengerusi mesyuarat, serta mencemarkan prestij Dewan Rakyat. “Oleh yang demikian, saya meminta Yang Berhormat Beruas, Taiping dan Batu Gajah untuk meninggalkan dewan ini selama 10 hari bermula hari ini, 26 Mac 2018,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Arahan itu dikeluarkan melalui pemasyhuran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kira-kira jam 11 pagi tadi.
Selain itu, ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP itu juga enggan memohon maaf secara terbuka kepada Pandikar, sekali gus tidak menghormati kuasa Yang di-Pertua serta menghina Parlimen.
“Ingin saya ingatkan, semua perbuatan dan kenyataan secara bersama yang dibuat ketiga-tiga Ahli Parlimen ini adalah satu penghinaan terhadap Yang di-Pertua yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi Dewan Rakyat, demikian bererti penghinaan kepada Dewan Rakyat.
“Maka, ia adalah perbuatan menghina Majlis Mesyuarat dan tidak mengendahkan kuasa Pengerusi Majlis Mesyuarat seperti dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 44 (2).
“Justeru itu, saya memerintahkan Ahli Parlimen Beruas, Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Parlimen Batu Gajah untuk keluar daripada Majlis Mesyuarat selama 10 hari mulai hari ini,” katanya seperti dibacakan Ronald di Dewan Rakyat, hari ini.