Home Semasa Permohonan undi pos luar negara tidak diproses selepas Parlimen bubar – SPR

Permohonan undi pos luar negara tidak diproses selepas Parlimen bubar – SPR

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Permohonan pengundi pos luar negara warganegara Malaysia yang diterima selepas 12 tengah malam pada hari pembubaran Parlimen tidak akan diproses, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Syarat bagi memohon kemudahan mengundi secara pos mestilah pemilih berdaftar kategori pengundi biasa atau bukan pengundi tidak hadir luar negara dan pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang ke-13.

Pemohon juga perlu menetap di luar negara kecuali bagi mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberikan kemudahan untuk mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian.

Menurut SPR, permohonan hendaklah dikemukakan dengan menggunakan Borang 1B ? Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang SPR.

“Permohonan yang telah diisi lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui e-mel kepada [email protected], atau melalui faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369, atau melalui pos ke alamat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Menara SPR, No 2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara),” demikian menurut #infopru14 di laman Facebook suruhanjaya itu, di www.facebook.com/Pilihanrayaumumke14/.

“Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan itu sama ada diluluskan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara adalah pengundi pos dan oleh itu tidak perlu memohon,” menurut SPR.

SPR turut menasihatkan semua warganegara Malaysia yang telah berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.

“Permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklah dilampirkan (dimuat naik) bersama salinan pasport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon.”

“Pengemaskinian alamat terkini di luar negara adalah bagi tujuan penghantaran kertas undi pos untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau e-mel ke [email protected]. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!