Home PolitikPakatan Harapan Tun M Jilat Ludah Sendiri: Hadi Awang

Tun M Jilat Ludah Sendiri: Hadi Awang

by Nurulhuda

Serdang, 24 Mac-Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjilat ludah sendiri menerusi cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya komen pendek saja, dia (Dr Mahathir) jilat ludah sendiri,” kata presiden PAS di Sidang Media selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya hari ini.

Dr Mahathir pada 21 Mac lalu, menerusi siaran langsung di Facebooknya memberi jaminan akan memansuhkan Auku, jika PH memenangi PRU14.

Pengerusi PH itu berkata, pemansuhan undang-undang itu bermakna tanggungjawab terletak di bahu ibu bapa untuk memantau prestasi anak.

Hadi berkata, sebelum 1980-an, mahasiswa dan pensyarah bebas menyertai sebarang aktiviti berkaitan politik kerana kerajaan ketika itu tidak sedikit pun takut atau terkesan.

“Saya sempat berada pada zaman selepas negara mencapai kemerdekaan. Ketika itu, tidak ada akta universiti yang mengikat pensyarah dan mahasiswa”.

“Pemimpin politik boleh masuk kampus dan ketika itu kerajaan tak takut, kita boleh menyertai kegiatan di kampus.”

Bagaimanapun, ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan berubah selepas Auku dilaksanakan pada 1980-an.

“Kita tak tahulah siapa jadi ‘Perdana Menteri’ masa itu wujudkan akta universiti tak benarkan pensyarah dan mahasiswa campur tangan dengan politik. Sekiranya yang berpendidikan tidak dibenarkan, adakah nak serahkan (pentadbiran) kepada yang tak berpendidikan?” soalnya.

Dr Mahathir, yang menerajui kerajaan selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, merupakan calon perdana menteri PH untuk PRU14 sementara menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali layak untuk bertanding pada PRU.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!