Kuala Lumpur, 24 Mac – Polis Diraja Malaysia telah menahan 7 orang saspek yang mempunyai kaitan kumpulan militan Da’esh. Kesemua saspek yang ditahan dipercayai cuba melakukan serangan terhadap rumah ibadat masyarakat bukan Islam dan sasaran lain.
6 orang saspek telah ditahan di Johor manakala seorang lagi warganegara Filipina yang ditahan di Sabah. Kesemua saspek telah ditahan dalam operasi berasingan pada 27 Februari dan 15 Mac lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, keenam-enam saspek yang aktif di Johor turut merancang untuk menangkap dan menculik anggota polis selain melaksanakan serangan bom.
Saspek warganegara Filipina yang ditahan pada 15 Mac lalu merupakan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf. Saspek merupakan anggota kanan kepada Furuji Indama, ketua kumpulan pengganas di Basilan, Filipina.
Saspek turut mempunyai hubungan dengan Dr Mahmud Ahmad, rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan Da’esh di Selatan Filipina.
Dalam kenyataan media oleh PDRM, saspek tersebut turut dikehendaki oleh kerajaan Filipina kerana terlibat dalam aktiviti jenayah Kidnap-For-Ransom dan beberapa siri cubaan membunuh.
Saspek berusia 31 tahun dari Filipina itu merupakan pakar IED yang turut merancang serangan di Sabah yang bertujuan untuk menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian dan markas anggota pengganas dari Filipina.
kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).