Tioman, 23 Mac – Eksesais Perang Tioman yang diadakan di perairan Laut China Selatan selama dua hari bermula semalam berjaya menguji kemampuan dan tahap kesiapsiagaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Eksesais yang diketuai sendiri oleh Panglima Markas Wilayah Laut Timur 1 (MAWILLA 1) Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad itu melibatkan tiga aset di permukaan TLDM iaitu KD Terengganu, KD Laksamana Hang Nadim dan KD Ganyang dengan kekuatan lebih 200 anggota dan pegawai.
Laksamana Muda Mohamad Adib berkata latihan seperti itu perlu diadakan dari semasa ke semasa untuk menguji kecekapan anggota-anggota TLDM baik segi ilmu di laut dan juga dari segi ilmu peperangan maritim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Eksesais Perang Tioman siri kedua tahun 2018.
Menurutnya untuk operasi menyelamat, kapal TLDM yang dipanggil kapal petugas tempatan sentiasa bersedia 24 jam di pangkalan untuk melaksanakannya sebaik mendapat permohonan mahupun maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam masa yang sama latihan perang selama dua hari itu turut diisi dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.
Menerusi program capaian itu, TLDM turut memperkenalkan Program Rakan Maritim (Rakam) dan aplikasi K3M (kesedaran, keselamatan, komuniti maritim) kepada penduduk di kedua-dua buah pulau itu dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah di laut.
Kredit gambar KD TEREANGGANU