Home PolitikPakatan Harapan “Mahathir rugikan bangsa” – Tok Mat

“Mahathir rugikan bangsa” – Tok Mat

by Nurulhuda

Seremban, 23 Mac – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan keputusan Pakatan Harapan yang mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara, jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak memberi impak begitu besar kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau yakin pencalonan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak akan menyebabkan tsunami Melayu seperti yang didakwa pembangkang sebelum ini.

“Saya tidak kata tiada gangguan… sikit-sikit itu ada impak tetapi tidaklah seperti orang kata akan terjadi tsunami orang Melayu… tak akan ada,” kata Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan dalam temubual khas bersama Bernama di Seremban.

Ketika ditemubual, beliau menyatakan pada 7 Jan lepas, PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan itu menang pada PRU14 nanti.

Menjelang PRU14 yang semakin hampir, Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, PPBM dan Parti Amanah Negara secara terbuka menerima kehadiran Dr Mahathir. Kehadiran beliau dilihat penting oleh Pakatan Harapan bagi menyelamatkan Malaysia dan mencanang tsunami Melayu akan berlaku dalam cubaan mereka menumbangkan BN.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata, beliau tidak boleh menerima tindakan bekas perdana menteri itu yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang khususnya DAP yang amat dibenci oleh Mahathir sendiri sebelum ini.

“Saya hormat Tun Mahathir dan saya pun pernah bekerja di bawah tangan dia… tapi sejak dia bersekongkol dengan DAP ni…saya rasa agak sukar bagi orang Melayu untuk menyokongnya.

“Terdapat satu hal, dia (Dr Mahathir) menyatakan DAP ini parti rasis semenjak 30, 40 tahun dulu. Hari ini apahal pula tiba-tiba dia dan Lim Kit Siang berbaik. DAP ni semua baik. Itu saya tidak boleh terima. Saya tak marah Tun Dr Mahathir, tapi cara dia berpolitik itu merugikan bangsa,” tegasnya.

Mohamad yang turut dikenali sebagai Tok Mat merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau. Beliau berkata orang Melayu sekarang matang untuk berfikir sama ada tindakan Dr Mahathir itu baik atau tidak kepada bangsa.

“Kalau kat kampung pun orang dah hilang hormat dengan dia, kalau di surau orang tua yang jarang cakap pasal politik boleh tanya saya, apa kena Dr Mahathir ini Datuk? Ini bermakna dah sampai ke tahap itulah (tidak bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir),” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!