Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT umum dividen dan bonus 12.5 peratus

LTAT umum dividen dan bonus 12.5 peratus

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan bayaran dividen dan bonus sebanyak 12.5 peratus untuk tahun kewangan 2017.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kadar dividen dan bonus diisytiharkan kali ini lebih tinggi berbanding purata 11.3 peratus sejak LTAT ditubuhkan pada 1972.

Katanya, dividen dan bonus lebih tinggi disandarkan kepada peningkatan pendapatan bersih LTAT sebanyak RM667.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.

“Bayaran ini meliputi enam peratus dividen dan 6.5 peratus bonus khas berbentuk unit amanah saham diberi percuma kepada pencarum yang aktif.

“Dividen dan bonus ini akan dikreditkan ke dalam akaun ahli yang mencarum bermula esok, ” katanya selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, jumlah aset LTAT setakat Disember lalu bernilai RM10 bilion, meningkat 4.2 peratus berbanding RM9.6 bilion pada 2016.

“Akuan carumannya pula berjumlah RM8.8 bilion berbanding RM8.6 bilion pada 2016,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 2017 juga LTAT melaksanakan pelbagai pembayaran, insentif dan sumbangan kepada pencarum termasuk bayaran balik caruman kepada 8,139 pencarum yang tamat perkhidmatan bernilai RM1.2 bilion, bayaran kepada 24,101 pencarum membeli rumah kediaman pertama (RM20.1 juta).

LTAT turut membuat bayaran kepada 183 pencarum atau waris di bawah skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya (RM6 juta), biasiswa dan anugerah kecemerlangan pendidikan 2,773 anak anggota dan veteran (RM3.2 juta) dan bayaran bantuan sara hidup kepada 70 ahli Persatuan Veteran dan balu bernilai RM231,000.

“LTAT juga membayar subsidi RM10.9 juta kepada 50 kategori barang di bawah harga pasaran di kedai PERNAMA bagi meringankan beban akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Hingga kini juga LTAT dan syarikat kumpulannya serta Yayasan LTAT sudah membiayai pelbagai program biasiswa dan kebajikan 134,600 anggota ATM yang masih berkhidmat, veteran dan ahli keluarga mereka dengan kos berjumlah RM416.1 juta.

“Keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi LTAT bagi 2017 dan berharap prestasi ini dapat dikekalkan serta dipertingkatkan pada masa akan datang sekali gus memastikan kebajikan anggota dan veteran sentiasa terpelihara, ” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!