Kota Bahru, 20 Mac – Bekas Naib Ketua BERSATU bahagian, Mohd Nor Hashim Che Min mengesahkan seramai 34 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Kota Bharu termasuk naib ketua, ketua srikandi dan ketua pemuda serta 12 ketua pusat daerah mengundi (PDM) memilih untuk menyertai parti PAS.
Menurut beliau, penyertaan mereka itu sekali gus melucutkan jawatan dan keanggotaan dalam BERSATU.
Tambahan beliau, pengisytiharan berkenaan dibuat susupan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi BERSATU serta Ketua bahagian, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
“Kami cukup kecewa dengan sikap Dr Mahathir yang kelihatan terlalu mengutamakan DAP dalam setiap tindakan dan keputusan parti.
Beliau yang ditemui pada sidang media di kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Kota Bharu menyatakan kepentingan orang Melayu bawah perjuangan BERSATU sudah tidak lagi dilihat sebagai keutamaan mereka.
Hadir sama Setiusaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan merangkap yang dipertua PAS kawasan Kota Bharu serta barisan kepimpinan PAS kawasan.
Pada majlis itu, Mohd Nor Hashim dan rakan-rakan turut menyerahkan borang keahlian PAS kepada Takiyuddin yang turut disaksikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Bekas ahli BERSATU bahagian Kota Bharu itu juga melakukan simbolik penyertaan mereka ke dalam PAS dengan menanggalkan baju parti lama dan dipakaikan dengan kemeja T PAS.
Mengulas lanjut Mohd Nor Hashim berkata, mereka juga kecewa dengan sikap Pakatan Harapan Kelantan yang dilihat amat sibuk berebut kerusi dan hanya memusatkan perhatian untuk bertanding berbanding khidmat kepada rakyat.
“Walaupun mereka secara asasnya tidak memiliki kekuatan di peringkat akar umbi dan dalam struktur masyarakat, tetapi nafsu besar mereka kelihatan mahu bertanding di semua kerusi.
“Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai contoh mahu membolot segala kerusi yang ada di Kelantan walaupun kekuatan mereka entah di mana.
“Kami semua sudah muak dan jelek dengan politik adu domba serta tidak berpenghujung dimainkan oleh mereka.
“Justeru, dengan pengisytiharan ini, secara sukarela dan bangganya menyertai PAS sebagai parti Melayu tertua yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan sekali gus menjadi destinasi terakhir perjuangan kami, Insya-Allah,” katanya.