Beijing, 12 Mac – Parlimen China meluluskan beberapa pindaan perlembagaan semalam, termasuk memansuhkan had penggal pemerintahan Presiden, sekali gus membolehkan Xi Jinping memerintah selama-lamanya.
Pengumuman undian itu disaksikan media di Dewan Besar Rakyat yang diluluskan dengan dua undi ‘tidak’ dan tiga berkecuali daripada hampir 3,000 pembuat dasar.
Parti Komunis China mencadangkan pindaan itu bulan lalu dan ia diluluskan dengan mudah memandangkan kerusi Parlimen dipenuhi ahli parti setia yang sudah pasti tidak menolaknya.
Golongan setia parti yang hadir ke sesi tahunan Parlimen itu berkata, keputusan terbabit popular dalam kalangan rakyat China dan menyatakan negara itu bertuah mempunyai pemimpin berkaliber seperti Presiden Xi. – Harian Metro.