Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat gagah pamer kekuatan dan keupayaan

Tentera Darat gagah pamer kekuatan dan keupayaan

by M.Daim

Port Dickson, 10 Mac – Demonstrasi Keupayaan Tentera Darat telah berjaya dilaksanakan di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson pada pagi tadi. Acara tersebut merupakan antara acara utama yang telah disediakan oleh pihak Tentera Darat Malaysia bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-85 Tentera Darat Malaysia.

Helikopter Nuri yang dikendalikan oleh PUTD mempamerkan keupayaan sayap udara Tentera Darat.

Operasi menyelamatkan tebusan dan operasi serangan pantai merupakan antara segmen tumpuan dalam demonstrasi tersebut. Demonstrasi menyelamat tebusan telah dilaksanakan oleh 21 Gerup Gerak Khas manakala demonstrasi serangan pantai telah dilakukan oleh 10 Briged Para. Kedua-dua demonstrasi operasi ketenteraan ini melibatkan pelbagai elemen formasi Tentera Darat yang mempamerkan keupayaan untuk melaksanakan operasi udara, laut dan darat.

Hybrid Real Fighting merupakan gabungan Silat, Taekwando dan Kombat Gerak Khas.

Selain daripada demonstrasi serangan, para penonton yang hadir turut dipersembahkan Hybrid Real Fighting yang merupakan persembahan seni mempertahankan diri yang mengabungkan Seni Silat, Taekwando dan Kombat Gerak Khas. Persembahan ini disertai oleh 240 orang anggota Tentera Darat dari pelbagai unit.

Panglima Tentera Darat menerangkan sesuatu kepada Mentri Besar Negeri Sembilan tentang senjata yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

Acara yang berlangsung hampir 3 jam ini diakhiri dengan persembahan pancaragam dan Drumline Tentera Darat yang melibatkan seramai 105 orang anggota Tentera Darat bergabung untuk menjayakan segmen tersebut.

Hadir menyaksikan demonstrasi ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi. Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad bin Hasan.

Demonstrasi ini merupakan acara kemuncak pada hari kedua Program Pameran Ketenteraan dan Demonstrasi Keupayaan Tentera Darat yang dianjurkan oleh Tentera Darat Malaysia. Program ini berlangsung dari 9 Mac dan berakhir pada 11 Mac 2018.

Program 3 hari ini bermatlamat untuk merapatkan jurang antara tentera dan rakyat, seiring dengan kata-kata hikmat “Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada”.

Selain menunjukkan aset-aset persenjataan dan kenderaan tempur, pameran ini turut membuka mata masyarakat mengenai peranan setiap kor dalam Tentera Darat dengan penglibatan keseluruhan kor-kor yang terdapat dalam Tentera Darat.

Pada masa yang sama, Sel Promosi dan Cawangan Tenaga kerja turut membuka kaunter khusus untuk memberi peluang kepada pengunjung yang berminat untuk menyertai Tentera Darat untuk mendapatkan maklumat berkaitan pengambilan dan kemasukan kedalam perkhidmatan Tentera Darat.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!