Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan tidak pernah abaikan veteran ATM, sentiasa jaga kebajikan – Panglima Tentera Darat

Kerajaan tidak pernah abaikan veteran ATM, sentiasa jaga kebajikan – Panglima Tentera Darat

by Air Times News Network

PORT DICKSON – Kerajaan tidak pernah mengabaikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan dan kebajikan golongan itu dijaga, kata Panglima Tentera Darat Jen. Tan Sri Zulkiple Kassim.

Katanya beliau juga yakin kerajaan sedar ada tuntutan golongan tersebut yang belum dipenuhi.

“Saya melihat perkara ini bukan kerajaan tidak mahu penuhi tetapi mungkin ada kekangan tertentu yang tidak membolehkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Malah, katanya jasa dan sumbangan veteran ATM dihargai bukan sahaja oleh kerajaan pusat tetapi juga kerajaan negeri yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.

Penganugerahan PJM pada hari ini misalnya, hanyalah sebahagian daripada tanda penghargaan dan terima kasih ATM kepada veteran yang diakui telah sama-sama mempertahankan nusa dan bangsa, katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran ATM Senator Laksamana (B) Tan Sri Anwar Mohd Nor yang turut hadir, berkata kini terdapat lebih 300,000 veteran ATM di negara ini dengan 113,000 merupakan veteran berpencen dan baki tidak berpencen.

Dalam pada itu katanya terdapat kira-kira 16,000 warga ATM yang ditamatkan perkhidmatan kerana masalah disiplin dan mereka tidak diiktiraf sebagai veteran ATM.

Beliau turut meluahkan penghargaan atas penggubalan Blueprint Veteran 1Malaysia yang disifatkannya memenuhi tuntutan warga veteran ATM.

“Ini bermakna kerajaan sangat prihatin dengan kebajikan veteran,” katanya.

Pada majlis hari ini  seramai 187  veteran ATM termasuk lima wanita dan tujuh balu menerima PJM. –BERNAMA         

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!