Manila, 4 Mac – Lebih 100 suspek kes dadah maut ditembak polis Filipina sejak Presiden Rodrigo Duterte mengarahkan menyambung kembali perang dadah.
Duterte yang dilantik pada 2016, yang menjanjikan pembasmian dadah, melancarkan perang dadah sebelum ini, menyebabkan sehingga 12,000 terbunuh, sebahagian besarnya ditembak polis yang mencetuskan bantahan dan kecaman antarabangsa serta pertubuhan hak asasi manusia.
Jurucakap Polis Kebangsaan Filipina (PNP), Ketua Superintenden John Bulalacao, mengesahkan sejak Duterte mengarahkan perang dadah disambung mulai 5 Disember lalu, 102 suspek mati ditembak sehingga 1 Mac lalu.
Oktober tahun lalu, presiden itu mengumumkan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina akan menggantikan polis dalam operasi mencegah dadah berikutan bantahan orang awam, termasuk tunjuk perasaan jalanan yang jarang berlaku di negara itu.
Bagaimanapun, Duterte, 72, berulang kali menegaskan agensi anti dadah yang mempunyai 2,000 pegawai tidak akan mampu mengambil tindakan tegas.
Berikutan itu, beliau mengarahkan polis menyertai semula kempen anti dadah tanpa membuat sebarang perubahan besar dalam pasukan.
Aktivis mendakwa, kira-kira 12,000 orang dibunuh dalam perang dadah sebelum ini, selain memberi amaran Duterte mungkin melakukan jenayah kemanusiaan.
Awal Februari lalu, pendakwa raya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata, dia sudah membuka siasatan awal terhadap dakwaan itu.
Kerajaan Filipina kemudiannya membuat kenyataan mereka sedia memberi laluan kepada pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) untuk meneliti tuduhan terbabit.
Bagaimanapun, Duterte turut memberitahu polis dan tentera, supaya tidak bekerjasama dengan pelapor khas terbabit.