Home Semasa MA63: Hak Sarawak yang dikembalikan akan diketahui Selasa ini

MA63: Hak Sarawak yang dikembalikan akan diketahui Selasa ini

by M.Daim

Sibu, 4 Mac –  Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka membuat satu pengumuman penting di Kuching pada 6 Mac ini berhubung pengembalian hak-hak Sarawak daripada kerajaan persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pada 6 Mac nanti saya akan mengumumkan sesuatu yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sarawak. Tunggu pada 6 Mac nanti, kerana saya tidak mahu umum pada malam ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pernah berkata bahawa akan mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis di bawah MA63. “Kalau anda mahu mendengar pengumuman berita itu datanglah ke Kuching pada hari tersebut,” katanya semasa berucap pada ‘Unity Night’ sempena sambutan Cap Goh Meh di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Untuk menjaga kepentingan negeri ini, Abang Johari berkata kerajaan negeri perlu mempunyai polisi yang dapat memberi manfaat besar kepada rakyat Sarawak secara keseluruhannya. Oleh itu tegasnya, hanya parti-parti politik dari Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan termasuk Parti Rakyat Sarawak (UPP) adalah saluran yang betul untuk menentukan masa depan Sarawak.

Justeru, beliau sekali lagi menggesa dan memujuk Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh yang turut hadir pada majlis itu supaya bersatu demi menjaga kepentingan masyarakat Cina di negeri ini. “Semasa saya menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh negeri baru-baru ini, masyarakat Cina meminta saya supaya mencari jalan untuk menyatukan SUPP dan UPP.

“Saya akan cuba tetapi semuanya bergantung kepada komuniti Cina dan ahli politik (Cina) perlu mempertimbangkan kepentingan bangsa mereka,” katanya. Beliau juga berkata, SUPP mempunyai tujuh kerusi Parlimen di seluruh Sarawak, manakala UPP mempunyai lima kerusi.

Oleh yang demikian katanya, beliau percaya jika kedua-dua parti berkenaan bergabung ia akan membentuk kekuatan kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pernah berkata, kalau kita kuat, KL (kerajaan persekutuan) akan mendengar permintaan kita. Oleh itu, kalau Parlimen ini kita boleh bagi (tawan) 29, 30 atau 31 (kerusi) termasuk Sibu dan Lanang, kita boleh minta sesuatu daripada PM sebagai balasan,” ujarnya.

Di samping itu, Abang Johari berkata penyertaan masyarakat Cina dalam pembangunan infrastruktur dan ekonomi negeri ini amat diperlukan berikutan Sarawak menerima pelaburan berjumlah berbilion ringgit daripada pelabur dari China. “Ya, kita menerima banyak pelaburan asing dari China kerana mereka tahu bahawa kita ada budaya percaya-mempercayai.”

“Malah mereka sanggup berkongsi teknologi untuk mendapatkan tenaga hidrogen daripada sumber air kerana Sarawak mempunyai banyak sumber air yang boleh dimanfaatkan. “Jadi Sarawak boleh belajar daripada China kerana anda semua boleh berbahasa Mandarin. Oleh sebab itu, kita memerlukan masyarakat Cina,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!