KUCHING, 2 Mac – Keunggulan organisasi Tentera Darat yang ada pada hari ini adalah legasi yang diwarisi dari kecemerlangan kepimpinan dan seluruh warganya yang terdahulu.
Dalam perutusan Hari Ulang Tahun Ke-85 Tentera Darat, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, atas dasar itu, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua perwira-perwira serta perajurit negara yang telah menabur jasa dan bakti dalam mencorak kejayaan Tentera Darat sejak 85 tahun kewujudannya.
Tegas beliau, sesungguhnya kerajaan tidak pernah melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan Tentera Darat demi mempertahankan tanah air tercinta ini.
“Kejayaan demi kejayaan yang diraih ini tidak datang dengan sendirinya tanpa usaha yang jitu dan kesepaduan dari warga Tentera Darat.
“Oleh demikian, ianya seharusnya manjadi pembakar semangat untuk kita terus mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan mengorak langkah kearah yang lebih baik demi agama, bangsa dan kedaulatan negara,” katanya semasa Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-85 di sini hari ini.
Stephen menambah, Tentera Darat telah melalui beberapa evolusi permodenan berdasarkan kepada perubahan sekitar geostrategik dan ancaman semasa dalam persekitaran multi domain.
Jelasnya, berlandaskan kepada cogan kata Tentera Darat ‘Satu Kerana Bersatu’, yang diterajui oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim telah menyusun lima teras utamanya dalam memimpin Tentera Darat kearah kecemerlangan iaitu Memperkasakan Kesiagaan Angkatan, Pengukuhan Kesepaduan Angkatan, Peneguhan Profesionalisme, Pementapan Pengurusan Organisasi dan Peningkatan Kualiti Hidup.
Turut hadir pada perbarisan ini Brig Jen Dato’ Subari Tomo KS AM MK Medan Timur Tentera Darat dan Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zain Panglima 3 Bgd serta tetamu jemputan dari BAKAT 1 Div, MINDEF Sarawak dan Persatuan Veteran Sarawak.