Moscow, Rusia 2 Mac – Seorang pegawai keselamatan tertinggi Rusia mendakwa Amerika Syarikat (AS) mewujudkan kira-kira 20 buah pangkalan tentera negara itu di Syria khasnya di wilayah yang dikuasai oleh etnik Kurdis.
Malah pegawai itu mendakwa, Washington melakukan provokasi ke atas Turki supaya Ankara melancarkan serangan ke atas wilayah tersebut dengan membekalkan etnik itu dengan senjatanya yang canggih.
Pegawai dari Majlis Keselamatan Rusia, Alexander Venediktov berkata, proses keamanan di Syria terjejas dengan campur tangan luar terutamanya pembabitan AS dalam konflik itu.
“Proses keamanan dan kestabilan Syria dihalang oleh campur tangan luaran yang berterusan dalam krisis Syria. Sebagai contoh, di wilayah yang dikuasai oleh Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), kira-kira 20 buah pangkalan tentera AS telah diwujudkan,” kata Venediktov sebagaimana lapor PressTV.
“Pihak Kurdis diperkuatkan dengan senjata canggih, penghantaran senjata moden dan dorongan sentimen pemisahan dalam kalangan etnik Kurdis hakikatnya telah menggalakkan Turki untuk melancarkan operasi ketenteraan di Afrin, utara Syria,” kata beliau.
Turki melancarkan kempen ketenteraan yang dikenali sebagai ‘Operasi Dahan Zaitun’ di Afrin pada 20 Januari lalu dalam usaha menghapuskan YPG yang dianggap Ankara sebagai pertubuhan pengganas dan cabang kepada kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Kempen itu dilancarkan selepas AS mendakwa akan menubuhkan sebuah pasukan sempadan militan dianggotai 30,000 orang di sempadan Turki.
Tentera Amerika tidak menunjukkan penglibatan mereka di Afrin tetapi kebanyakan tenteranya berada di Manbij dan timur Euphrates membantu YPG dalam memerangi militan Daesh.
Kerajaan Syria mengutuk operasi ketenteraan Turki di Afrin dengan mendakwa Ankara mencabul undang-undang antarabangsa dan menghalang penyelesaian politik serta kemenangan terhadap keganasan.
Ketika Turki berdepan tekanan berterusan tentang laporan meningkatnya korban dalam kalangan orang awam ketika melakukan serangan, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengumumkan rancangan memperluas serangannya ke Manbij yang mana pasukan Turki bakal berdepan cabaran tentera yang diketuai AS.
Pada bulan Februari, Erdogan menolak laporan bahawa orang awam disasarkan dalam operasi Turki di Syria, dengan mendakwa Turki berada dalam misi untuk memerangi keganasan, yang merupakan kunci untuk mencegah kemunculan semula penjajahan, dalam kiasan yang jelas merujuk kepada AS.