Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Mengekalkan kecemerlangan dan kemampuan angkatan kapal selam jadi fokus utama – Laksmana Muda Zulhelmy

Mengekalkan kecemerlangan dan kemampuan angkatan kapal selam jadi fokus utama – Laksmana Muda Zulhelmy

by Air Times News Network

Kota Kinabalu, 26 Feb – Mengekalkan kecemerlangan dan kemampuan angkatan kapal selam menjadi fokus utama bagi tampuk pemerintahan baru yang kini dipimpin oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Zulhelmy Ithnain bermula hari ini.

Menurut Zulhelmy yang pernah menjadi anggota kru pertama kapal selam itu, dia kembali sebagai pemimpin angkatan selam dengan pelbagai perancangan bagi mengekalkan tahap kemampuan angkatan itu.

“Selepas keluar dari markas ini lebih dua tahun lalu, saya datang semula ke sini dengan pandangan berbeza dan idea baru yang boleh diketengahkan tetapi dengan kerjasama daripada semua anggota lain.

“Ia memang mencabar kerana berada di operasi hadapan Laut China Selatan dan memerlukan kami sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Oleh itu, fokus kami ialah mengekalkan kecemerlangan dan kemampuan untuk bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Kapal Selam di Auditorium Markas Pemerintahan Kapal Selam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, di sini, hari ini.

Zulhelmy mendapat latihan di Perancis selama tujuh tahun untuk mengendalikan kapal selam selain turut melayarkan kapal selam itu dari Perancis ke negara ini.

Majlis serah terima tugas dilakukan antara bekas pemangku Panglima Angkatan Kapal Selam, Kapten Abdullah Sani Islamil kepada Zulhelmy disaksikan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sementara itu, Abdullah Sani berkata, walaupun hanya enam bulan menjalankan tugas sebagai pemangku Angkatan Kapal Selam namun pelbagai cabaran turut dihadapinya.

“Antara pengalaman yang mencabar adalah apabila mengoperasikan aset strategik negara iaitu memerlukan perancangan yang amat teliti kerana ia membabitkan aset yang mahal. “Disebabkan ia membabitkan perbelanjaan yang mahal, kita terpaksa melaksanakan pengurusan kewangan yang terbaik iaitu apa yang disalurkan oleh kerajaan akan mendapat pulangan yang bernilai,” katanya.

Katanya, disamping itu, cabaran lain yang dihadapi adalah mengurus dua kapal selam serta perairan negara yang terlalu luas untuk dikuasai.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!