Baitulmaqdis, 25 Feb – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mempercepatkan pemindahan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis Mei depan mencetuskan kemarahan rakyat Palestin, malah diselar Hamas sebagai deklarasi perang terhadap bangsa Arab dan Islam.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pentadbiran AS mesti mempertimbangkan semula keputusan itu, manakala jurucakap Presiden Mahmoud Abas, Nabil Abu Rdainah menganggap keputusan itu tidak boleh diterima.
“Ia langsung tidak boleh diterima. Sebarang tindakan sehala tidak akan mewajarkan tuntutan mana-mana pihak, malah menggugat sebarang usaha keamanan di rantau ini,” katanya.
Jurucakap AS kelmarin berkata, kedutaan akan dibuka di Baitulmaqdis pada Mei depan sempena ulang tahun ke-70 deklarasi kemerdekaan Israel.
Bagaimanapun, bagi orang Palestin, 15 Mei adalah ‘Hari Nakba (Kehancuran) apabila ribuan golongan itu diusir dari kediaman mereka dalam mewujudkan Israel.
Sementara itu, kementerian luar Turki dalam satu kenyataan semalam menyelar keputusan itu berkata, ia menunjukkan AS mahu merosakkan proses keamanan.
Pertempuran sekali lagi tercetus di Gaza dan Tebing Barat, Jumaat lalu, dalam proses mingguan terhadap Trump berhubung isu itu, dengan 25 kecederaan akibat peluru hidup dilepaskan anggota keselamatan Israel.