Raub, 25 Februari – Seramai 100 orang anak murid di Raub telah menerima sumbangan khas ke akaun Tabung Haji mereka. Sumbangan yang bernilai RM 100 untuk setiap seorang anak murid telah disampaikan oleh Maritime Consult (M) Sdn Bhd dalam satu majlis anjuran Kelab Anak Raub.
Majlis Sumbangan Khas Anak Raub yang mendapat kerjasama dari pihak Tabung Haji dan Pejabat Pendidikan Daerah Raub berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong, Raub pada petang tadi.
Menurut Presiden Kelab Anak Raub, Encik Fadzli bin Mohamad Kamal, program ini diadakan buat kali kedua selepas program pertama yang dijalankan pada Disember lalu, yang juga ditaja oleh Maritime Consult (M) Sdn Bhd.
“Penambahan sumbangan oleh penaja dilihat sebagai satu perkembangan yang baik,” kata Presiden Kelab Anak Raub dalam satu sidang media selepas majlis. Tambah beliau, pihak penyumbang melihat sambutan hari ini adalah menggalakkan dan mereka mungkin akan bersedia untuk terus menyumbang di masa hadapan.
Haji Shahidan Bin Taib, Pemangku Timbalan Pengarah Tabung Haji Negeri Pahang turut hadir ke majlis ini. Dalam ucapan majlis, beliau melihat sambutan hari ini amat menggalakkan dan mewakili pihak Tabung Haji, beliau menyampaikan penghargaan atas usaha Kelab Anak Raub dengan kerjasama Maritime Consult serta pihak Pejabat Pendidikan Daerah Raub.
Penglibatan anak rantau dalam membantu masyarakat di desa merupakan satu usaha yang amat dialu-alukan oleh masyarakat setempat. Perkara ini jelas dalam ucapan ringkas oleh Adun Dong, yang Berhormat Dato’ Sri Haji Shahiruddin Bin Ab.Moin yang turut hadir ke majlis tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri memuji program sebegini diadakan di kawasan desa.
“Walaupun mereka sudah berjaya diperantauan, mereka merendah diri, masuk ke kampung dan membantu masyarakat di kampung,” kata Dato’ Sri Hj Shahiruddin yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Mengenai usaha dan program yang diatur oleh Kelab Anak Raub, Encik Fadzli menyatakan pelbagai program yang telah berjalan dan program-program tersebut mendapat sambutan yang baik dari masyarakat setempat.
Selain daripada program Sumbangan Khas Tabung Haji, Kelab Anak Raub telah berjaya melaksanakan program Liga Bola Sepak Anak Raub yang telah mendapat penyertaan yang menggalakkan dari masyarakat setempat. Kejayaan Liga tersebut, menurut Fadzli, telah membawa kepada penganjuran program baharu iaitu Pesta Bola Jaring Raub.
Selain daripada aktiviti kesukanan, aktiviti lain seperti Jelajah Apa Khabar Orang Kampung yang diadakan dari kampung ke kampung telah merapatkan lagi hubungan penduduk setempat. Presiden Kelab Anak Raub menyatakan, program tersebut baru sahaja dilancarkan pada tahun ini dan telah mendapat sambutan yang baik dari segenap penduduk.
Menyentuh program yang akan dijalankan pada masa hadapan, Fadzli menyatakan bahawa pihak Kelab Anak Raub akan berbincang dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah bagi menjalankan program-program khusus kepada golongan pelajar seperti kem motivasi pada masa hadapan. Menurut beliau, pihak beliau telah menerima banyak permintaan dari pihak-pihak sekolah sekitar Raub untuk berurusan dengan Kelab Anak Raub.
Walaupun baru 2 tahun selepas ditubuhkan, Kelab Anak Raub telah dilihat sebagai satu platform yang baik untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti setempat.
Pada masa yang sama beliau turut mengajak anak-anak Raub diperantauan untuk tidak melepaskan peluang untuk berbakti kepada masyarakat Raub. Selain daripada itu, beliau turut mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan dari mana-mana syarikat dan individu untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Anak Raub.
Selain menyampaikan sumbangan, pertandingan mewarna turut diadakan dan pada masa yang sama, Tabung Haji Pahang membuka kaunter bergerak di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong bagi memudahkan urusan penduduk setempat dengan Tabung Haji.