Penampang, 25 Feb – Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan mengetepikan kawasan pilihan raya yang diwakili pembangkang dari segi pembangunan, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. Beliau berkata, sebagai kerajaan hari ini, BN negeri bertanggungjawab memastikan pembangunan di Sabah dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita perlu saling membantu. Kita mesti bekerjasama demi kebaikan Sabah.
“Kita hidup bersama. Kita bina negeri ini bersama. Jadi, kita perlu bangunkan Sabah bersama untuk memastikan ia menjadi negeri maju,” katanya pada Festival Angpow malam tadi.
Beliau berkata, Penampang yang ahli Parlimen dan adunnya terdiri daripada pembangkang, terus diberi perhatian oleh kerajaan BN, termasuk pada masa diperlukan. Musa berkata, ini termasuk kerja melebar dan mendalamkan sungai di Penampang bagi menangani masalah banjir ketika hujan lebat.
Katanya, ketika lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Penampang bulan lepas, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM8.5 juta bagi menaik taraf Pasar Donggongon.
“Ini adalah tugas kami (BN). Walaupun Penampang adalah (diwakili) pembangkang, kami (masih) harus membantu.
“Ini adalah BN. Kami berkhidmat untuk semua,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kerajaan negeri mempunyai peranan memastikan kestabilan politik Sabah agar ekonominya sentiasa makmur dan berterusan bagi menarik kedatangan pelancong serta pelabur. Musa berkata, jika pengundi di Penampang memilih wakil BN pada pilihan raya umum akan datang, beliau akan memastikan Penampang terus membangun.
“Kami akan pastikan orang datang ke sini untuk melabur.
“(Jadi) pilihlah parti yang betul dalam pilihan raya umum nanti dan parti itu adalah BN,” katanya.
Dalam acara itu, Musa turut mengumumkan sumbangan RM200,000 kepada Kuil Fook Tet Kung di Donggongon, di sini.