LUMUT, 25 Feb – Seramai 30 orang kanak-kanak yang menghidap kanser teruja apabila berpeluang merasai pengalaman menaiki Kapal Diraja (KD) Kelantan dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Markas Udara TLDM di sini.
Seorang daripada mereka, Muhd Hazeeq Aiman Mohd Dzahir, 14, yang menghidap kanser tulang tahap empat berkata dia berasa gembira apabila diberitahu ibunya, Siti Fatimah Md Isa, 40, bahawa dia akan dibawa melawat ke Pangkalan TLDM Lumut.
Muhd Hazeeq Aiman yang menghidap kanser sejak Mac 2015 dan sedang mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang berkata dia tidak pernah melihat sendiri kapal tentera dan ingin memasuki pangkalan TLDM untuk merasai kehidupan sebagai seorang tentera.
“Seronok sangat dapat memasuki pangkalan TLDM. Selama ini saya cuma dapat menyaksikannya di kaca televisyen,” katanya kepada Bernama pada Program Majlis Ramah Mesra Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara di Dewan Shariff di sini hari ini.
Sepanjang program itu, kanak-kanak berumur antara tiga hingga 19 tahun itu juga dihiburkan dengan persembahan kawad senyap, persembahan tempur tanpa senjata serta berpeluang melawat kapal dan markas udara TLDM.