Kuala Lumpur, 23 Feb – Penglibatan wanita dalam perjuangan mempertahankan tanah air bukanlah sesuatu yang baharu. Lipatan sejarah tanah air telah membuktikan penglibatan srikandi-srikandi tanah air turut berjuang dalam mempertahankan negara dan turut menyarung uniform bersama-sama mempertahankan tanah air.
Anggota wanita atau secara mudah disebut sebagai pranita turut dilihat sebagai salah satu elemen kekuatan pasukan perkhidmatan Tentera Darat Malaysia. Ini terbukti dengan Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) 2018 yang menyaksikan penglibatan kali ke-2 oleh anggota wanita Tentera Darat.
“Dalam Tentera Darat, anggota wanita tidak harus dilihat sebagai anggota sampingan. Mereka juga anggota tentera yang dilatih dan pertandingan ini memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan keupayaan mereka. Dan mereka telah berjaya membuktikan bahawa mereka turut mampu untuk bergerak seiring dengan anggota-anggota lain,” ujar Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim ketika bertemu dengan wakil media selepas menutup acara Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) hari ini.
Pertandingan tahunan ini dilaksanakan semenjak awal 1990-an dan menjadi ujian kepada peserta yang mewakili setiap formasi Tentera Darat Malaysia.
“Pertandingan ini menguji keupayaan anggota dan ketua pasukan mereka. Di samping menguji kekuatan fizikal, UKMHK turut menguji dari segi mental, keupayaan seorang ketua untuk menyampaikan arahan dalam keadaan yang mencabar,” tambah Panglima Tentera Darat.
Selain daripada itu, ujian ini turut menguji tahap persiapan dan kesiapsiagaan anggota dalam sepanjang pertandingan. Beliau turut melahirkan rasa bangga dan semangat juang yang tinggi yang telah dipamerkan oleh setiap peserta. Menurut beliau, semangat juang, kecekapan dan juga tahap kesiapsiagaan adalah kayu pengukur utama dalam pertandingan ini.
“Saya berharap pertandingan sebegini dapat mengekalkan imej Tentera Darat sebagai satu ketumbukan yang disegani lagi digeruni,” kata Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dalam ucapan penutup pertandingan.