Kuala Lumpur, 21 Feb – Beberapa pemimpin Pakatan Harapan hari ini memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Saman itu dibuat selepas jabatan kerajaan berkenaan didakwa gagal memberi maklum balas terhadap permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.
Saman-saman itu difailkan oleh peguam Gobind Singh Deo, yang juga ketua biro guaman DAP, bagi pihak pemimpin-pemimpin kanan empat parti komponen HARAPAN. Mereka ialah Ketua Sekretariat HARAPAN Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Shaharuddin Md Salleh dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
“Secara ringkasnya, kami sudah memfailkan permohonan untuk pelbagai arahan.
“Secara khususnya, ROS harus menjawab atau memberi maklum balas terhadap permohonan yang difailkan.
“Sampai hari ini masih tiada maklum balas,” kata Gobind kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kesemua pemohon turut hadir. HARAPAN berhasrat menggunakan logo tunggal bagi berdepan BN dalam pilihan raya umum akan datang dan kegagalan mendaftar sebagai gabungan rasmi boleh menjejaskan usaha itu. Bagi mereka, penggunaan logo bersama itu penting bagi memudahkan pengundi selain menunjukkan bersamaan gabungan pembangkang. Pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.