SEGAMAT – Tindakan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) yang mendakwa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seperti ‘kem percutian’ dan tidak mampu menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia tidak seharusnya berlaku.
[blockquote align=”none” author=”Ketua Pemuda Umno Bahagian Segamat, Bastien Onn”]Tindakan PATRIOT yang meragui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam isu PLKN ini juga seolah-olah mahu membangkit perasaan marah dan mengelirukan rakyat[/blockquote]
“Sebenarnya tidak timbul soal mempertikai semangat patriotisme atau kesetiaan kepada negara, cuma Presiden PATRIOT perlu tahu PLKN merupakan usaha kolektif 10 kementerian dan agensi kerajaan dalam menjana modal insan golongan muda.
“Selain Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran serta Kementerian Belia dan Sukan juga terlibat dalam membangunkan modul PLKN dan adakah kakitangan kerajaan ini juga tidak mempunyai semangat patriotik?” katanya.
Bastien mengulas kenyataan ahli PATRIOT, Mejar (B) Ismail Jr Feisol di dalam sebuah portal yang mengatakan kem PLKN dikendalikan seperti ‘kem percutian’ oleh jurulatih yang turut dipersoalkan semangat cintakan negaranya.
Selain itu, Presiden PATRIOT, Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji juga mahu menganjurkan bengkel untuk belia dan berikrar akan melakukan kerja yang lebih baik dalam menyemai semangat penyatuan dan cintakan negara berbanding PLKN.
Menurutnya, cadangan PATRIOT yang mahu menganjurkan Bengkel Kepimpinan Belia dan Patriotisme itu yang akan dimudahcarakan oleh bekas pegawai polis dan veteran tentera juga sebenarnya merupakan dasar-dasar asas penubuhan PLKN.
“Malah, PLKN juga turut melengkapkan bekas-bekas pelajar ini dengan beberapa kebolehan asas vokasional yang membolehkan mereka menjadi lebih praktikal dan tidak kaku dalam kehidupan seharian di masa hadapan.
“Saya rasa PATRIOT perlu dapatkan maklumat terkini tentang PLKN sebelum memulakan ‘bengkel’ mereka agar cadangan-cadangan mereka nanti tidak nampak sumbang dan terkebelakang,” katanya.
Menurutnya, keadaan kem PLKN yang seperti ‘kem percutian’ juga bertujuan untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka yang terpilih agar turut serta dan tiada wujudnya kebimbangan tentang aspek keselesaan dan keselamatan.
Sebelum ini, Hishammuddin mempersoalkan motif PATRIOT yang mengkritik PLKN selain pelik dengan tindakan persatuan tersebut yang baharu menimbulkan isu sekarang selepas kerajaan memberi ruang kepada semua pihak untuk menyuarakan cadangan sebelum ini.
Hishamuddin turut menyifatkan PATRIOT bersikap dwistandard kerana tidak memberikan apa-apa cadangan sebelum ini, dan percaya mereka cuba mempengaruhi pemikiran anggota tentera supaya melawan kerajaan.