IPOH, 19 Feb – Kemalangan dalam Terowong Menora pagi tadi menyebabkan trafik bergerak perlahan sepanjang lima kilometer ke arah utara.
Jurucakap PLUS berkata, kemalangan membabitkan dua kereta itu menyebabkan kedua-dua lorong di lokasi kejadian terpaksa ditutup sementara pagi tadi.
Bagaimanapun, katanya, kerja pengalihan dan pembersihan selesai dilakukan dan kedua-dua lorong dibuka semula kepada pengguna lebuh raya pada jam 12 tengah hari tadi.
“Berikutan kejadian itu, aliran trafik agak perlahan sepanjang lima kilometer dari arah Ipoh menghala ke Kuala Kangsar,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.31 pagi.
Beliau berkata, anggota yang tiba mendapati kemalangan membabitkan pelanggaran kereta Proton Saga dan Proton Saga Aeroback dalam terowong berkenaan.
“Mangsa tiada di lokasi kejadian ketika pihak bomba tiba. Anggota membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terbabit,” katanya.