KOTA BHARU, 13 Feb – Mohamed Ghaddar kembali menyertai Kelantan sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, berakhir malam kelmarin.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan penjaring terbanyak Liga-M musim lalu dengan 23 gol itu didaftarkan bagi menggantikan Morgaro Gomis, pada saat-saat akhir.
Ia merupakan kepulangan kali ketiga bekas penyerang import sensasi The Red Warriors (TRW) musim 2012 itu selepas mewakili skuad pantai timur berkenaan, pada 2014 dan tahun lalu.
[blockquote align=”none” author=”Bibi Ramjani Ilias Khan”]”Alhamdulillah, kita sudah berjaya lengkapkan pendaftaran pemain ini malam tadi sebelum tarikh tutup[/blockquote]
“Kita harap, kehadiran Ghaddar mampu memberikan impak yang lebih positif buat pasukan selepas ini,”katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sepanjang mewakili Kelantan dia berjaya meledakkan 18 gol dalam 11 perlawanan.
Awal musim ini, JDT bersetuju meminjamkan penyerang berusia 34 tahun itu kepada Melaka United namun dia menolak tawaran untuk mewakili skuad Hang Tuah.
Bibi Ramjani memberitahu, Mohammed Ghaddar juga bersetuju tawaran dikemukakan Kafa dan dia sudah menandatangani kontrak bersama TRW.
Katanya, pemain itu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
“Kita membuat Kafa mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai Gomis, Bibi Ramjani berkata, khidmat pemain berkenaan terpaksa dilupakan selepas mengalami kecederaan.
Katanya lagi, prestasi semasa pemain import lain yang membarisi TRW pada musim ini juga akan dipantau.
“Mana-mana pemain yang tidak menunjukkan prestasi sebenar berkemungkinan akan disingkirkan,” katanya.