Serikin, 13 Feb – Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu DiRaja (11 RAMD) yang diketuai oleh Mejar Zulkarnaien bin Muda telah melaksanakan serkap berkenderaan di lorong tikus Kawasan Am Jagoi Estate(Duyoh-Serikin) berhampiran tapak semaian benih sawit pada petang semalam.
Setelah 2 jam berada di lokasi, terdapat 2 buah lori muatan 3 tan sedang bergerak menuju ke arah Indonesia. Kumpulan serkap terbabit secara langsung telah menahan lori tersebut dan membuat pemeriksaan terhadap pemandu dan kenderaan yang dipandu.
Hasil dari pemeriksaan, didapati kenderaan yang dipandu oleh warganegara Malaysia tersebut dipenuhi muatan sosej mentah sebanyak 800 kotak dan belon sebanyak 280 kotak.
Barang-barang tersebut dikehendaki untuk dihantar ke sempadan Malaysia/Indonesia tanpa sebarang dokumen barang dagangan atau kelulusan dari pihak Kastam. Kesemua barang dan lori yang ditahan adalah dalam anggaran sebanyak RM 236,158.60. Pemandu lori, lori dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Bau dan diserahkan kepada pihak polis atas kesalahan menggunakan laluan keluar masuk yang tidak dibenarkan dan tiada dokumen perdagangan yang sah.