ALOR SETAR, 9 Feb – Masyarakat Cina di negeri ini perlu memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana kerajaan selama ini tidak pernah meminggirkan kaum tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, sokongan kaum Cina kepada BN selama ini kian terhakis akibat fitnah dan tohmahan yang dilontarkan pembangkang, sedangkan BN melakukan yang terbaik untuk kebajikan dan kemajuan mereka.
“Jasa kerajaan BN itu perlu diterjemahkan dalam bentuk undi supaya lebih banyak kemajuan dapat dibawa masuk untuk kebaikan rakyat.
“Jangan ulangi kesilapan kali kedua dengan memberi undi kepada pihak pembangkang kelak kita sendiri akan rugi,” katanya kepada pemberita pada majlis pemberian cermin mata percuma kepada rakyat di sini hari ini.
Menurutnya, rakyat sendiri akan rugi jika pembangkang berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negeri daripada Kerajaan Barisan Nasional.
“Kita akan hilang peruntukan untuk memajukan negeri sebanyak RM30 juta setahun bagi satu Parlimen sekiranya negeri ini diperintah oleh pembangkang,” jelasnya.