Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada cadangan bawa pulang MALBATT 850-5

Tiada cadangan bawa pulang MALBATT 850-5

by Air Times News Network

PORT DICKSON: Kementerian Pertahanan tiada cadangan membawa pulang Batalion Malaysia 850-5 (MALBATT 850-5) yang kini berada di Lubnan, berikutan krisis politik yang melanda negara itu sejak seminggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keadaan tidak membimbangkan walaupun Lubnan kini berdepan krisis selepas Perdana Menterinya, Saad Al-Hariri, mengumumkan peletakan jawatan minggu lalu ketika berada di Arab Saudi.

Katanya, sehari selepas peletakan jawatan itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, menghubungi Komander MALBATT 850-5 bagi mengetahui perkembangan semasa di negara itu.

“Setakat ini tiada perkara yang membimbangkan atau insiden yang meragukan tetapi kita akan terus memantau setiap hari,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Tentera Darat dan Pelancaran Pakej Istimewa Panggilan dan Data (Pakej Tigatiga) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Pakej Tigatiga adalah kerjasama antara ATM dengan syarikat Celcom Axiata Berhad yang menawarkan pelan khas kepada warga ATM, veteran dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

Saad membuat pengumuman mengejut meletak jawatan ketika lawatan ke Arab Saudi kerana mendakwa nyawanya terancam, tindakan yang dibimbangi mencetuskan lebih ketidakstabilan dalam pada ketegangan yang sedia dialami di rantau itu.

Mengenai dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bahawa Kerajaan Pusat seolah-olah tidak membantu mangsa banjir di negeri itu kerana tidak mengumumkan sebarang bentuk bantuan secara langsung, Hishammuddin berkata kenyataan itu tidak benar.

Katanya, sehari selepas negeri itu banjir, beliau dan Tan Sri Raja Mohamed Affandi sendiri yang turun ke negeri itu bagi melihat keadaan di sana.

“Jika Kerajaan Pusat tidak bantu, kenapa dia (Guan Eng) telefon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada jam 3 pagi. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid sendiri turun ke Pulau Pinang.

“Dalam hal ini ATM sudah menjalankan tugas mereka dengan baik membantu mangsa banjir, walaupun tiada arahan berbuat demikian daripada kementerian. Itu tiada siapa boleh nafikan. Tetapi dakwaan kata tidak bantu, itu tidak patut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!