KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kerajaan sentiasa memberi perhatian rapi terhadap isu pengurusan rumah api di Pulau Pisang, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan wajar seandainya wujud sebarang elemen yang boleh menjadi ancaman kepada kedaulatan negara.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata langkah kawalan terhadap pulau yang terletak di perairan Pontian, Johor, itu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti masuk dan keluar di pulau itu dipantau dengan ketat selaras dengan kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu.
“Pulau Pisang merupakan hak mutlak Kerajaan Negeri Johor. Kerajaan British diberi kebenaran hanya untuk membina, mengendali dan menyelenggara rumah api di Pulau Pisang berdasarkan perjanjian bertulis atau ‘indenture’ yang telah ditandatangani oleh Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Swettenham pada 6 Okt 1900. Peranan ini diteruskan oleh kerajaan Singapura sehingga kini.
“Kakitangan kerajaan dan rakyat Singapura yang mengendali dan menyelenggara rumah api tersebut perlu mematuhi peraturan dan syarat kemasukan yang ditetapkan kerajaan termasuk mendaftar dengan Jabatan Imigresen di Kukup, Johor setiap kali pertukaran syif dan direkodkan. Proses yang sama juga digunakan setiap kali mereka meninggalkan rumah api di Pulau Pisang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
— BERNAMA