KUALA LUMPUR, 14 Sept – 32 atlet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini telah menerima insentif daripada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin atas kejayaan meraih pingat dan pecah rekod di Sukan SEA KL 2017. Manakala 13 atlet TLDM yang menyumbangkan pingat emas pula akan menerima kenaikan pangkat dalam masa terdekat.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kenaikan pangkat itu merupakan salah satu usaha menghargai jasa mereka kepada negara.
“Selain memberikan insentif tersebut, kita akan menaikkan pangkat mereka bagi penyumbang pingat pingat emas dan sedang mempertimbangkan ‘hadiah’ untuk penyumbang perak dan gangsa.
“Dalam Sukan SEA 2017 lalu atlet kita telah berjaya menyumbangkan 14 pingat emas, enam perak serta 10 gangsa,” katanya dalam satu majlis di sini hari ini.
Ketika kejohanan tersebut, kontinjen negara muncul sebagai johan keseluruhan dengan memperolehi 145 pingat emas emas.